|
KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang mengalami kemalangan di Thailand, kini mungkin terpaksa menjual rumah mereka di Rawang, Selangor, selepas keluarga kepada warga Thailand yang meninggal dunia dalam kejadian itu menuntut pampasan sebanyak RM200,000.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam 19 Disember lalu, Abd Wahab Yahaya, 56 dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, dikatakan bertembung dengan pejalan kaki ketika menunggang sebuah motosikal di Jalan Aonang, dekat Krabi, Thailand.
Mengikut undang-undang di negara berkenaan, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan akan dipersalahkan jika kemalangan membabitkan pejalan kaki.
Anak kepada pasangan itu, Amirun Aziz Abd Wahab, 21, berkata beliau sekeluarga buntu untuk menyelesaikan pampasan berkenaan, lebih-lebih lagi dengan keadaan bapanya yang parah dan masih dirawat di Hospital Krabi, Krabi.
“Dalam kejadian itu, ibu dan bapa saya pengsan. Mama mengalami gegaran pada otak dan hilang ingatan sekejap. Bapa pula patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung, selain pendarahan pada mata.
“Berdasarkan laporan polis, bapa dipersalahkan dalam kejadian itu dan menurut undang-undang di negara itu, bapa perlu bertanggungjawab.
“Keluarga warga Thailand yang meninggal dunia menuntut pampasan RM550,000 sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM200,000 selepas perbincangan dengan peguam dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Amirun Aziz berkata, bapanya kini masih dirawat dan baru selesai menjalani pembedahan di negara itu serta tidak dibenarkan pulang selagi proses perbicaraan di mahkamah tidak selesai.
“Bapa dijangka akan dibicarakan pada 9 Januari ini. Pasport
bapa juga dipegang pihak berkuasa Thailand. Dalam keadaan kesihatan bapa yang teruk, saya sekeluarga mahu bapa dibawa pulang secepat mungkin ke negara ini memandangkan ibu sudah dibenarkan pulang semalam.
“Kami bercadang menjual rumah bapa di Rawang untuk menampung tuntutan berkenaan dan saya juga memohon jasa baik rakyat Malaysia untuk mengurangkan beban ini dengan menghulurkan sedikit bantuan kewangan.
“Bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank saya 162713016800. Segala jasa baik semua saya dahulukan dengan ucapan terima kasih,” katanya.
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|