Anugerah Seri Angkasa (ASA) adalah satu pengiktirafan Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) untuk memartabatkan karyawan, penggiat dan kru di belakang tabir seperti pelakon drama tv dan radio, penerbit program tv dan radio, jurukamera, wartawan penyiaran, media baharu dan lain-lain.
Anugerah Seri Angkasa diadakan kali terakhir pada 2016 dan kini Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) kembali ke pentas majlis penganugerahan tertinggi negara dalam industri kreatif yang memartabatkan penggiat-penggiat seni industri kreatif penyiaran tanah air.
Bertemakan Kemuncak Kecemerlangan, maka sebanyak 43 pencalonan Kategori TV, 22 pencalonan Kategori Radio dan 5 pencalonan Kategori Media Sosial menjadi rebutan peserta. ASA turut mengiktiraf pekerja-pekerja di belakang tabir industri kreatif yang merupakan tenaga kerja yang sangat penting dalam merealisasikan sesebuah penerbitan terutama semasa negara mengharungi pandemik Covid-19.
Demi memenuhi aspirasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang sentiasa menyokong penuh majlis anugerah sebegini, maka menerusi Anugerah Seri Angkasa inilah prestij industri kreatif negara diangkat dan dijulang menerusi tema Kemuncak Kecemerlangan.